Sila beri penilaian anda untuk blog ini

Penilaian anda (seikhlas mungkin)
12 34 56 78 910
View Results | Give It A Rating

Ahad, 2009 Julai 05

Pengemis, Suami Kaya & Isteri Cantik



Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, mereka telah didatangani oleh seorang pengemis yang berpakaian lusuh dan meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik, saya lapar. Saya sejak semalam saya tidak menjamah sesuap nasi pun" rayu pengemis tersebut.

Dengan muka yang bengis dan angkuh, si suami sambil menjeling kepada isterinya yang cantik itu, terus menghalau dan menengking si pengemis itu. Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tapi untuk diri dan keluargaku." Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.

Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi dan berlaukkan seperti lauk yang mereka sedang makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis tersebut, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si suami pun kehairanan dan bertanya kepada isterinya, mengapa dia tiba-tiba menangis. Si isteri pun menjawab, "Sebenarnya si pengemis ini adalah bekas suamiku yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Lantas, suami yang baru itu menjawab dengan tenang, ''Sesungguhnya, akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu."


''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaannya. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya'' (Hadith bersumberkan daripada Anas Bin Malik R.A)





P/s: Hidup ini adalah ibarat roda. Adakalanya kita di atas, adakalanya kita di bawah. Belajarlah untuk bersyukur dan memberi ketika berada di atas, kelak akan dibukakan oleh Allah S.W.T. jalan keluar dari segala kesusahan ketika berada di bawah.
-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Jumaat, 2009 Julai 03

Nabil Marwan Dalam Kenangan

Sharif dan Arwah Nabil


2 Julai 2009. Kira-kira pukul 11 malam. Hari Khamis malam Jumaat. Nabil Marwan telah dipanggil pulang oleh PEMILIKNYA.

Aku baru dikejutkan dengan berita bahawa Nabil ada masalah pada organ hatinya. Kami (aku, Nurudin, Naim) terus berhajat untuk melawat Nabil pada hujung minggu depan (selepas program Taaruf Week UIA). Selang beberapa hari, aku digemparkan dengan mesej dari rakan-rakan yang memaklumkan bahawa Nabil telah pergi buat selama-lamanya.

Selepas mendapat berita ini, aku terus terduduk. Terus merenung bilakah dan bagaimanakah pengakhiran hayatku. Aku masih teringat saat2ku pergi melawat Nabil di Hospital Telok Intan. Sinar senyuman Nabil ketika itu begitu meyakinkan diriku bahawa keadaan dia semakin baik dan akan sembuh dari penyakitnya. Namun, DIA lebih menyanyangi Nabil. DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk Nabil. DIA MAHA MENGETAHUI SEGALANYA.

Nabil Marwan adalah juniorku ketika di DQ. Aku tidak beberapa rapat dengannya ketika di DQ ataupun di Matrik UIA. Jika bertemu dengannya, hanya berbalas senyuman dan berbual sebentar. Aku menjadi sangat rapat dengannya selepas menghadiri satu program. Di dalam program itu, aku menjadi sangat rapatnya bagaikan kami memang adalah kawan yang rapat sebelumnya. Aku lebih kenal dirinya di dalam program ini. Rupa-rupanya, Nabil ini mempunyai perwatakan yang hampir sama seperti diriku.

Namun, ALLAH JUA MAHA MENGETAHUI apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA. DitakdirkanNYA, seminggu selepas menghadiri program tersebut, Nabil dimasukkan ke hospital akibat demam panas. Maka, bermulalah episod ujian untuk diri Nabil dan ahli keluarganya sehingglah beliau menghembuskan nafas terakhir.

DIA telah meminjamkan Nabil sebentar untuk menjadi sahabat karibku dan DIA jua yang berkuasa dan berhak mengambil kembali makhluk ciptaanNYA.

Aku sempat berbual dengan ibunya semalam. Walaupun beliau masih terasa kehilangan anaknya itu, tetapi beliau redha dengan pemergian Nabil. Bagi beliau, Nabil adalah seorang anak yang baik dan seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan dan merisaukan ibunya walaupun dalam keadaan yang amat tidak terdaya.

Nabil telah pergi buat selama-lamanya pada hari Khamis malam Jumaat dan menurut Iqbal & Fathi (2 orang sahabat yang tiba awal di rumah arwah dan sempat melihat jenazah arwah), wajah arwah dalam keadaan tersenyum dan ada percikan peluh di dahinya. Subhanallah.. Itu adalah tanda-tanda husnul khatimah. Wallahu'alam.

Semoga Nabil memperoleh husnul khatimah dan rohnya ditempatkan bersama-sama orang-oran yang Soleh. Ameen.

Takziah kepada ahli keluarga arwah. Semoga terus kuat dengan ujian ini dan redha atas segala ketentuanNYA.

Bagaimana dengan pengakhiran hidup anda?? Adakah amal soleh yang telah anda lakukan sudah layak untuk memperoleh husnul khatimah kelak??

Fikir-fikirkan...

Rabu, 2009 Jun 24

Selamat Datang Bulan Rejab


Daripada Anas Bin Malik R.A, beliau mendengar Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda (Berdoa):


اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

"Ya Allah, berkatilah kami pada Bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah (hayat) kami ke Bulan Ramadhan" (Hadis riwayat At-Tabrani)


Alhamdulillah, kita sekali lagi berpeluang menjejaki bulan Rejab dengan Iman dan Islam. Masih lagi diberi pinjaman umur oleh Allah S.W.T. untuk meningkatkan bekal bagi menghadapi kehidupan sebenar kelak.


"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, ( yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laraganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa" (Surah Taubah: 36)


Ramai umat Islam yang menambahkan amalan mereka pada bulan Rejab. Antara amalan yang sering dilipatgandakan pada bulan Rejab ialah amalan berpuasa sunat.

Mengapa kamu melipatgandakan amalan pada bulan ini?? Apakah ada fadhilat khusus di sebaliknya??

"Puasa pada bulan Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih-lebihan dari bulan-bulan yang lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yang haram" (Sheikh Sayyid Sabiq)

"Fadhilat bulan Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan Haram yang lain "(Dr. Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Atiyah al-Saqr; Mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)


Jadi, adakah tiada amalan sunat dibolehkan di bulan Rejab ini??

Jawapannya, ada. Tiada masalah untuk beribadat pada bulan ini, terutamanya berpuasa, tetapi janganlah dikhaskan bahawa amalan dan fadhilatnya hanya pada bulan Rejab sahaja.

Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah S.A.W., "Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jika aku berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah di bulan Haram, maka sesungguhnya di dalamnya dari taubat (keampunan) Allah ke atas suatu kaum dean terdapat taubat (keampunan) di dalamnya untuk satu kaum yang lain" (Hadith riwayat Ahmad)


Sebenarnya, di dalam bulan Rejab telah berlaku pelbagai peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Seharusnya umat Islam mengingati peristiwa-peristiwa penting tersebut sebagai iktibar untuk generasi masa kini. Di antara peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Rejab ialah peperangan Tabuk (Rejab 9 Hijrah, Oktober 630M), pembebasan Al-Quds dari tentera Salib oleh tentera Islam pimpinan Salehuddin Al-Ayubi (27 Rejab 583Hijrah), kelahiran Imam Syafi'e (Rejab 150 Hijrah, 767 M) dan peristiwa Isra' dan Mi'raj pada 27 Rejab (pendapat sebahagaian ulama').

Peristiwa-peristiwa ini adalah peristiwa besar dalam Islam. Ingatlah sejarah amat penting dalam kejayaan hari ini. Sejauh mana kejayaan hari ini, bergantung kepada peristiwa semalam. Kehidupan ini ibarat seperti memandu kereta. Kita memandu sentiasa ke hadapan. Namun, kita amat memerlukan cermin sisi untuk melihat keadaan di belakang, adakah selamat ataupun tidak.

Bayangkan jika kereta tanpa cermin sisi untuk melihat keadaan belakang. Pemandu itu mungkin tidak akan selamat untuk terus memandu. Jika selamat pun, pemandu tersebut pasti tidak mampu memotong atau meningkatkan kelajuan kenderaan kerana ketiadaan cermin belakang yang boleh memastikan keadaan selamat untuk memecut dan memintas kenderaan lain. Cermin sisi itu adalah sejarah silam. Kita mungkin boleh terus melangkah tanpa melihat sejarah, tapi kita pasti tidak akan dapat melangkah jauh tanpa melihat kepada sejarah kejayaan dan kegagalan umat silam untuk dijadikan pengajaran.

Sempena bulan Rejab ini, beramallah dengan sebaiknya tanpa meminggirkan nas. Amat rugi jika melakukan amalan-amalan yang tiada di dalamnya nas-nas yang sahih. Ingatlah, amaran keras Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 2009 Jun 23

Kawasan Perkuburan Islam di Singapura





Sungguh cantik kubur-kubur di atas. Penuh dengan hiasan.
Namun, maaf untuk dikatakan bahawa kubur-kubur di atas adalah haram di sisi Islam.

Mengapa?


Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, dia berkata,

“Rasulullah S.A.W. telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)


Hukumnya adalah Haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah S.A.W. (berdasarkan hadith di atas). Ia juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah oleh syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah S.W.T.


Perhatian!


Membawa bunga-bungaan/jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah juga diharamkan. Trend ini telah menular dikalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kuno dalam upacara-upacara jenazah mereka. Perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga, sedangkan kematian adalah suatu peringatan daripada Allah kepada manusia-manusia yang masih hidup.


" Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya ialah manusia dan batu..." (Surah At-Tahrim: 6)

-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Isnin, 2009 Jun 22

Pembangunan Negeri Akan Mantap Dengan Penglibatan Para Huffaz



SHAH ALAM, 23 Jun (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Dato' Dr. Hassan Ali menegaskan bahawa pembangunan negeri Selangor akan dimantapkan dengan penglibatan golongan huffaz dan huffazah yang telah disemai selama ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat ingin melihat benih-benih yang disemai ini dapat tumbuh dan membesar bagi membantu dalam pembangunan dan menguruskan negeri Selangor terutamanya dengan kehendak Allah taala.

"Ini merupaka satu aktiviti utama bagi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Kerajaan Negeri harapkan program ini dapat dilihat hasilnya dengan mata.

"Orang yang menghafaz al Quran dapat dlihat kesan mereka dalam pembangunan masyarakat," katanya.

-YB Dato' Dr. Hasan Ali-


Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Ijtimak Huffaz peringkat negeri Selangor 2009 dan Penyampaian Isbat Huffaz yang diadakan di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jais, Khusrin Munawi; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Ahmad Zaki Arshad; Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar.

Majlis yang diadakan buat julung-julung kali ini dianjurkan bersama Bahagian Dakwah dan Bahagian Pendidikan Jais, Persatuan Institusi Tahfiz al Quran Selangor (Pitas) dan Masjid Negeri.

Katanya, di Selangor mempunyai pelbagai kemudahan masjid negeri dan asjid daerah dengan masing-masing sepatutnya digunakan secara keseluruhan.

"Ia adalah untuk memantapkan lagi usaha menghafazkan al-Quran terutamanya dikalangan anak-anak muda, anak muda dan remaja termasuklah semua pihak kerana menghafaz al-Quran ini tidak mengira umur," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor berkata, kerja mentelaah dan menghafaz al-Quran merupakan kerja yang mulia dan program tahunan hari ini adalah untuk meraikan mereka yang mengabdikan diri sebagai Huffaz.

"Hafazan mereka itu digunakan dalam kehidupan keluarga, kehidupan bermaysrakat termasuk mengimarahkan masjid dan sebagainya semuanya diambilkira bagi kita sebagai huffaz. Hasilnya akan memberikan faedah kepada kemajuan-kemajuan Islam di negeri selangor," katanya.

Dalam pada itu, seramai 65 orang huffaz dan huffazah menerima elaun bulanan yang telah dipilih berdasarkan kepada hafazan-hafazan mereka, kefasihan yang meliputi kategori satu hingga 10 juzuk, seramai 30 orang menerima RM 1,200 setiap enam bulan.

Manakala seramai sembilan orang dari kategori 1 hingga 20 juzuk pula menerima elaun selama enam bulan sebanyak RM 1,800 dan kategori satu hingga 30 juzuk seramai 26 orang menerima RM 3,000 yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Semua elaun ini diperolehi setelah dipanggil untuk menghadiri perkampungan huffaz selama tiga hari dua malam untuk mengikuti program yang disusun dan temuduga akan dijalankan ketika di perkampungan itu yang diadakan setahun sekali.

Manakala kelayakan untuk mendapatkan elaun untuk akan diputuskan oleh satu jawatankuasa Penyemak Keputusan Temuduga yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).


Sumber: HarakahDaily.Net

Ahad, 2009 Jun 21

Kembara 19 & 20 Mei 2009

- Majlis Akad Nikah dan Kenduri Kahwin Syahid & Amalina di Kemasik, Kemamaman-



19 Mei 2009


4.30 petang - Bertolak dari Shah Alam bersama Hasan

5.23 petang - Mengambil Barra' di Selayang. Terus menuju ke Masjid Jamek Kemasik, Kemaman untuk menghadiri majlis akad nikah.

-Masjid Jamek Kemasik, Kemaman-


9.54 malam - Kami tidak bernasib baik. Tiba agak lewat ke Majid Jamek Kemasik. Majlis akad nikah baru sahaja selesai. Sempat bergambar sahaja.

-Malam akad nikah di Masjid Jamek Kemasik-


10.30 malam - Menjamu selera di rumah Amalina. Menu: Nasi dagang Terengganu+akok+air teh.


-Rumah yang kami duduki. Sungguh luas-


11.15 malam - Menuju ke rumah sewa yang disediakan oleh pengantin dan Asyikin. Bermalam di sana bersama-sama dengan Hasan, Barra', Haziq, Aizuddin, Syed Faris dan Sarmizi.




20 Mei 2009

-Bergambar sebelum pergi ke kenduri kahwin-

-Pantai Kemasik-


11.30 pagi - Singgah di Pantai Kemasik. Menikmati keropok lekor + air 100 plus bersama-sama dengan Syazwan, Mustaqim, Hasan dan Barra'.

-Bergambar sebelum menyertai rombongan-


12.45 tgh hari - Berkumpul di Masjid Jamek Kemasik dan akan menyertai rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan selepas solat Zohor

1.30-1.50 tgh hari - Solat Zohor dan bergerak ke rumah pengantin perempuan

-Sebahagian daripada warga UIA yang hadir-



-Aluan kompang yang menyerikan keadaan-


- Pengantin diiringi oleh 'orang yang lebih berpengalaman'-



-Pengantin perempuan siap sedia menunggu-


-Salam sayang-

-Raja Sehari-

- Berdoa di atas pelamin-


- Makan beradab-



3.30 petang - Berangkat pulang. Iman Saiful Suhardi dan Saupi menyertai kami.

3.45 petang - Singgah di kedai keropok lekor.


-Kedai yang kami singgah-


5.35 petang - Tiba di UIA Kuantan. Saupi turun di UIA. Singgah di rumah sewa Hasan. Bertemu dengan Ridha.

6.05 petang - Meneruskan perjalanan.

8.23 malam - Tiba di UIA Gombak. Menghantar Aiman dan melawat sahabat-sahabat di UIA Gombak.

11 malam - Bergerak pulang daripada di UIA Gombak

12.05 malam - Tiba di rumah.

Next stop:
-Rumah Syahid 26/6
-Rumah Wardah 1/8

Rabu, 2009 Jun 17

Sirah Khulafa' Ar-Rasyidin



Tarikh: 17 Jun 2009
Masa : 20.05-20.50
Tempat: Surau Al-Islah, Seksyen 7
Penceramah: Ustaz Fauzi
Tajuk : Sirah Khulafa' Ar-Rasyidin



Khulafa' Ar-Rasyidin:

*Tempoh masa: 30 tahun (berdasarkan hadith Nabi S.A.W.)

*Zaman Abu Bakr R.A., Umar R.A., Uthman R.A., dan Ali R.A.

* Ada ulama' menambah termasuk zaman Saidina Hasan R.A ( Kerana tempoh masa 4 khalifah sebelumnya + zaman Hasan R.A. = 30 tahun). Ada juga ulama' yang menambah Umar Abdul Aziz sebagai salah seorang Khulafa' Ar-Rasyidin.

* Ada sesetengah ulama' mengatakan bilangan Khulafa' Ar-Rasyidin ialah 12 orang (4 khalifah terawal+ 8 orang khalifah zaman Bani Umayyah), berdasarkan hadith, "Umat Islam akan sentiasa baik selama mana diperintah oleh 12 imam Quraisy"...aw kama kol..


* Jika mahu mencontohi bagaimana model pemerintahan negara Islam, contohilah zaman pemerintahan Umar Al-Khattab R.A., bukannya zaman pembinaan negara Madinah (merupakan model tapak pembinaan negara Islam sahaja, bukan model pemerintahan negara Islam kerana ketika itu Islam hanya di Madinah sahaja) -Ulama'-

* Jika mahu mencontohi model tamadun Islam, contohilah tamadun di zaman pemerintahan Bani Abasiyyah, iaitu pada pembentukan pusat pemerintahan Baghdad.m -Ulama'-


* Siapakah yang berperanan mengIslamkan penduduk Madinah sebelum penghijrahan Nabi S.A.W.?

- Jawapannya Mus'ab Bin Umair. Beliau telah mengIslamkan paling kurang 1 rumah, seorang yang memeluk Islam sebelum kedatangan Nabi S.A.W.. Beliau tiba di Madinah 1 tahun sebelum kedatangan Nabi S.A.W. Sungguh besar pengorbanan beliau dalam kejayaan pembentukan negara Islam Madinah.

* Abu Ayyub Al-Ansari, seorang sahabat Nabi S.A.W. yang dipanjangkan umurnya. Beliau sempat bersama-sama dengan tentera Islam dalam usaha membebaskan kota Kontantinopal pada zaman pemerintahan Yazid Bin Muawiyah.

* Tempoh pemerintahan Abu Bakr R.A.: 2 tahun, 3 bulan
* Tempoh pemerintahan Umar R.A.: kira-kira 6 tahun
* Tempoh pemerintahan Uthman R.A.: 12 tahun ( 6 tahun aman, 6 tahun kacau bilau)
* Tempoh pemerintahan Ali R.A: 9 tahun

* 10 sahabat yang dijamin masuk syurga (Abu Bakr As-Siddiq R.A., Umar Al-Khattab R.A., Uthman Bin Affan R.A., Ali Bin Abu Talib R.A, Talhah Bin Ubaidillah R.A., Zubair Al-Awwam R.A., Abdul Rahman Bin 'Auf R.A., Saad Bin Abi Waqqas R.A, Abu Ubaidah Bin Jarrah R.A., Sa'id Bin Zaid R.A) telah memeluk agama Islam pada 3 tahun terawal kedatangan Islam kecuali Umar Al-Khattab R.A. (tahun ke-5 kedatangan Islam).

* Tempoh pemerintahan Bani Umayyah: 41H-142H

* Muawiyah menjadi khalifah selama 20 tahun

* Muawiyah Bin Abu Sufyan R.A. t menjadi telah gabenor Damsyik & Syria selama 40 tahun. Beliau mula dilantik sebagai gabenor oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A. untuk menggantikan saudaranya, Yazid Bin Abu Sufyan.

* Muawiyah telah bepandangan jauh dan berwawasan tentang pembukaan Islam di Eropah berdasarkan sabda Nabi S.A.W. (ketika menggembirakan sahabat-sahabat yang dalam keadaan ditekan), " Kota Kontantinopal akan dibuka oleh tentera Islam. Sebaik-sebaik panglima, ada lah panglima ketika itu, dan sebaik-sebaik tentera, adalah tentera ketika itu"..aw kama kol..

Muawiyah pun mencadangkan kepada Amirul Mukminin ketika itu, Saidina Umar Al-Khattab agar ditubuhkan satu pasukan tentera laut Islam. Namun, cadangan itu ditolak oleh khalifah kerana tidak pernah lagi tentera Islam menggunakan laut untuk berperang. Pada zaman pemerintahan Uthman R.A., sekali lagi Muawiyah mencadangkan idea ini agar penaklukan kota Konstantinopal dipercepat. Cadangan ini kemudiannya diterima oleh khalifah.

* "Mana-mana tenteraku yang mula-mula menyeberangi laut, mereka masuk syurga. Mana-mana tenteraku yang menyerang ibu negara Kaisar, mereka akan diampunkan" -Hadith-..aw kama kol..

Tentera Islam pada zaman Yazid Bin Muawiyah (hasil gesaan Muawiyah) adalah tentera Islam pertama yang cuba membuka kota Konstantinopal. Namun, tidak berjaya.

* Cubaan Sultan Muhammad Al-Fatih dan tentera-tenteranya adalah percubaan ke-9 tentera Islam untuk menakluk kota Konstantinopal (6-7 daripada cubaan adalah berlaku pada zaman Bani Umayyah)

Mengapa boleh menang akhirnya?

Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengambil masa 2 tahun untuk mengkaji sebab kekalahan-kekalahan tentera-tentera Islam terdulu, mengkaji struktur binaan istana Konstantinopal, mengkaji sampel batu & pasir di situ dan menggunakan bom yang tercanggih yang dibuat oleh seorang saintis Islam yang diselamatkan daripada dalam penjara.

Maklumat tambahan, boleh klik di sini


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Ketaqwaan



Tarikh: 16 Jun 2009
Masa : 20.01-20.35
Tempat: Surau Al-Islah, Seksyen 7
Penceramah: Ustaz Ismail Kamus
Tajuk : Taqwa


"Ketaqwaan itu bukanlah hanya pada bangun beribadat pada malam hari atau berpuasa pada saing hari, tetapi ketaqwaan adalah pada meninggalkan perkara-perkara yang dilarang" -Saidina Umar Abdul Aziz.

Ada seorang sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, ada seorang jiran ni, dia sangat kuat beribadat dan dalam masa yang sama dia menyakiti hati jirannya." Jawab Rasulullah S.A.W.: "Dia akan masuk neraka"- aw kama kol (hadith)


Perkara-perkara yang boleh menjadikan seseorang itu bertaqwa:

1) Menziarahi kubur
2) Selalu mengingati mati
3) Selalu ingatkan azab Allah
3) Selalu mengingati bahawa Allah Maha Melihat


Sebab-sebab seseorang itu tidak bertaqwa:

1) Lalai
2) Hati sudah mati
3) Berlebih-lebihan mengejar dunia
4) Membuang masa


Info:

* Haram menggali kembali kubur tanpa alasan dan sebab yang munasabah.

* Jika pasangan suami isteri memeluk agama Islam bersama, mereka tidak perlu lagi akad nikah kembali. Cukup syahadah pengislaman mereka sebagai akad pernikahan mereka.

* Jika suami masuk Islam sebelum isteri & isteri masuk Islam dalam tempoh 'iddah, tidak perlu akad nikah yang baru. Jika isteri masuk Islam selepas tempoh 'iddah, barulah perlu kepada akad nikah yang baru.

* Orang Islam yang mati membunuh diri, wajib diuruskan dan dikebumikan mayatnya dengan cara Islam selama mana si mati tersebut bahawa perbuatan membunuh diri ini adalah haram.

* Orang yang paling awal menziarahi orang sakit dan orang yang meninggal dunia, adalah Saidina Abu Bakr As-Siddiq.

* Haram (bagi lelaki) mengucapkan takziah kepada perempuan muda yang kematian suaminya (bagi mengelakkan fitnah).


-Allah S.W.T. lebih mengetahui segalanya-

Selasa, 2009 Jun 16

Baca Dulu, Baru Tulis!!


Menulis.

Satu seni yang tidak semua orang dapat kuasai.

Ramai yang mampu menurunkan tulisan ke atas kertas kosong atau skrin kosong, tetapi tidak ramai yang benar-benar mampu 'menulis' sehingga meninggalkan bekas kepada si pembaca. Ramai yang boleh menulis, tetapi tidak ramai yang boleh kuasainya.

"Dah tak ada idea la nak tulis dalam blog" keluh seorang rakan.

"Aku kena cari artikel yang best-best dulu, baru boleh letak dalam blog. Nak harapkan aku menulis, aku mana ada ilmu" tambah rakan lain.

Aku bersetuju bahawa kebolehan menulis ini adalah satu kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang tertentu. Kebolehan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk tulisan adalah satu kelebihan, sama dengan kelebihan untuk menterjemahkan idea ke dalam bentuk lisan (pidato, ceramah dll) serta dalam bentuk audio (pementasan, pembikinan video dll).

Namun, aku kurang bersetuju bahawa kebolehan ini boleh muncul secara tiba-tiba. Ramai yang ingin menulis dan mengharapkan ideanya terus mencurah-curah untuk menulis, tetapi telah mengabaikan aspek yang lebih penting darinya, yang perlu datang sebelumnya, iaitu MEMBACA.

Mereka ingin menulis di dalam blog, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menghasilkan artikel yang ilmiah dan menarik, tetapi mereka kurang membaca.
Mereka ingin menyampaikan idea yang tajam dan bernas, tetapi mereka kurang membaca.
Hatta, jika ingin menulis jawapan di dalam peperiksaan, kita harus membacanya (mengulangkaji) terlebih dahulu.

Hasil tulisan seseorang (tidak termasuk yang copy & paste) itu boleh dibezakan dengan berapa banyaknya seseorang itu membaca sebelum menulis.

Ada hikmahnya mengapa ayat pertama yang Allah turunkan buat Nabi junjungan, adalah Iqra' (bacalah), bukannya uktub (tulislah).

Membaca adalah kunci bagi segala pintu ilmu. Dari ilmu itulah kita boleh sebarkan ke dalam bentuk tulisan, lisan atau audio sebagai salah satu bentuk dakwah.

Amat sedih apabila mengenangkan satu kajian yang telah dibuat baru-baru ini, meletakkan pelajar-pelajar Malaysia berada di antara ranking terakhir dari sudut bilangan buku ilmiah (selain buku akademik) yang habis dibaca dalam masa setahun. Jauh ditinggalkan negara-negara jiran seperti Indonesia, mahupun Singapura. Apatah lagi negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Jika golongan pelajar yang rutin hariannya menuntut ilmu dan bergelumang dengan buku-buku pun sudah berada di ranking bawahan, apatah lagi bagi golongan dewasa dan tua yang memang disibukkan dengan pelbagai kewajipan. Bagaimana pula dengan golongan remaja yang 'tersasar'?
Jauh panggang dari api.

Kembalikanlah budaya membaca. Kerana itulah jalan untuk mengenal Sang Pencipta.

MEMBACAlah dahulu sebelum MENULIS.

Ahad, 2009 Jun 14

Dalam Kenangan: Ustaz Fathi Yakan (1933-2009)


Dunia Islam kehilangan seorang lagi permata pejuangnya yang begitu digeruni oleh pihak Kuffar. Beliau pergi meniggalkan telampau banyak jasa dalam Islam terutamanya kepada gerakan-gerakan Islam serta tulisan-tulisannya yang begitu tinggi nilai ilmiahnya dan sangat berguna sebagai pedoman umat Islam seluruhnya. Semoga segala pengorbanan beliau yang telah menggelumang di dalam medan dakwah ini akan menjadi bekal untuk almarhum apabila bertemu Ilahi kelak.

Sedikit biodata ringkas Ustaz Fathi Yakan:

Beliau telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tarablas, Lubnan. Beliau telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab walaupun pada peringkat B.A. dan M.A. beliau belajar di dalam bidang kejuruteraan. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau merupakan anatara pelopor dan pengasas Ikhwanul Muslimin Lubnan dan telah menjawat jawatan ketua umum di dalam Ikwanul Muslimin Lubnan sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intiami lil Islam, (apa ertinya saya menganut agama Islam), al-Mutasiqituna 'ala toriq Da'wah (golongan yang tercicir di sepanjang jalan dakwah) dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.

Pada 21 Jamadil Akhir, 1430 Hijrah (waktu Lubnan), bersamaan dengan hari Ahad, 14 Jun 2009 (waktu Lubnan), beliau telah pulang menemui ilahi. Beliau meninggalkan seorang balu, Dr. Mona Haddad Yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Antara buku-buku beliau yang telah dialih bahasa ke Bahasa Melayu (Malaysia & Indonesia) dan menjadi sumber rujukan bagi gerakan-gerakan Islam di Nusantara:



-Buku Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam-


-Buku Generasi Muda & Perubahan-


- Buku Isti'ab-


-Buku Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah-


-Buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah-


-Buku Komitmen Muslim Sejati-


-Buku Membentuk Fikrah dan Visi Gerakan Islam-


Sedikit petikan daripada tulisan beliau untuk pemuda, sebagai sedikit renungan:

"Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempuntyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda, tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar; Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera; Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang; Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan; Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya"

Semoga Allah S.W.T. memberkati beliau dan menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang Soleh. Ameen.

Hilang sudah sebuah permata dan pejuang Islam. Diharapkan ada lagi permata dan pejuang yang akan lahir bagi menerusakan perjuangan beliau.

Sumber maklumat: al-jazeera, AFP, Islamtoday, daawa.net dan buku 'Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden', karangan Ustaz Ridhuan Mohd Noor dan Zainudin Hashim.


-Allah S.W.T lebih mengetahui segalanya-